Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, sehubungan itu pihaknya akan mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Kementerian Kewangan bagi menaik taraf jalan sejauh kira-kira 14 kilometer itu.

“Kita juga akan mengadakan rundingan dan perbincangan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selain memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Laluan ini penting kerana ia adalah jalan antarabangsa yang turut digunakan pelancong dari luar negara yang datang ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan tempat pelancongan lain di sini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Orang Asli Che Wong di Kampung Enggang Kuala Gandah di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Ong Gua Pak dan Batin Kampung Enggang Geng Nai. - UTUSAN ONLINE