Muhammad Rizal Jusoh, 42, berkata, dia juga tidak menolak kemungkinan menarik semula laporan polis yang dibuat.

Jelasnya, dia akan mendapatkan nasihat sanak saudara termasuk keluarga sebelah isteri berhubung perkara tersebut.

“Allah SWT memaafkan umatnya apatah lagi manusia biasa seperti saya. Hidup saya tidak lengkap tanpa isteri dan siapa yang hendak menjaga makan minum dua lagi anak Mohamad Nur Rusyaidi, 7, dan Mohamad Rafiuddin, 5.

“Dia (isteri) memang tidak sedar kerana dia boleh tanya semula apa yang berlaku dan siapa yang bunuh Muhammad Nur Rashdan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa anak bongsu daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian setelah lehernya dikelar oleh ibunya yang tidak sedar menggunakan senjata tajam.

Suspek mengelar leher anaknya selepas membawanya masuk ke dalam bilik setelah selesai membaca al-Quran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan memberitahu, wanita itu kini direman seminggu bermula semalam di Lokap Balai Polis Maran bagi membantu siasatan.

Ujarnya, perintah reman dikeluarkan Majistret Asmadi Mahayudin di Mahkamah Majistret Maran kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai masalah atau rekod mengalami gangguan mental dan wanita berkenaan dipercayai mengalami halusinasi sebelum mengelar leher anak bongsunya.