Pengerusinya, Datuk Sarif Azib berkata, semua dokumen dan prosedur berkaitan akan dimajukan kepada Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan menjalankan operasi.

Kata beliau, pusat hemodialisis yang dicadangkan itu bakal dikenali sebagai My Angkasa Dialisis yang beroperasi di bangunan sendiri di Panantara Bina Sdn. Berhad Kuala Krau untuk kemudahan ahli koperasi dan orang ramai di daerah ini.

“Koperasi ini mempunyai dana mencukupi bagi membuka My Angkasa Dialisis sekali gus berharap kementerian terbabit dapat memberi kebenaran beroperasi pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelima Koperasi Penanam Sawit Mampan Temerloh Berhad yang dirasmikan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah di sini baru-baru ini.

Menurut Sarif, pihaknya bersedia mematuhi semua prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan agar penubuhan pusat itu kelak mampu beroperasi de­ngan berkesan.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, setakat ini, Angkasa memiliki tiga pusat hemodialisis iaitu dua diuruskan sendiri dan sebuah lagi melalui kerjasama dengan swasta yang menyediakan kemudahan kepada pesakit buah pinggang membuat ­rawatan.

Tambahnya, Angkasa berharap kerajaan dapat mempermudahkan kelulusan permohonan penubuhan pusat hemodialisis demi kepentingan masyarakat di luar bandar.

“Sekiranya koperasi ada pusat hemodialisis, ia memberi kemudahan kepada pesakit termasuk ahli koperasi sendiri menjalani proses mencuci darah 12 kali sebulan membabitkan kos antara RM2,500 sehingga RM3,000,” katanya.