Delegasi yang diketuai Ketua Unit Kenegaraan Jabatan Pene­rangan Negara Brunei, Dayang Hamsah Datu Kerna Jaya itu terdiri daripada empat Pegawai Penerangan Brunei dan empat ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Brunei.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Mohamed Lokman Mahmud, berkata program pertukaran pegawai hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) sejak 1992 itu merupakan program kerjasama berterusan antara Jabatan Pene­rangan Malaysia dan Brunei.

Katanya, kesemua delegasi itu akan berada di Pahang selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu sebelum meneruskan program di Terengganu sehingga Jumaat ini.

“Di Pahang kami memilih memulakan program di Temerloh kerana terkenal dengan ikan patin yang mana mereka turut dibawa ke Kampung Orang Asli Enggang dan juga Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang.

“Kemudiannya kami akan membawa delegasi ini ke Pusat Tenun Pekan sebelum ke Kuantan dalam satu majlis mesra bersama Jabatan Penerangan Pahang,” katanya pada majlis perasmian Program Pertukaran Pegawai Pene­rangan dan Perhubungan Awam Brunei serta MPMK Brunei ke Malaysia di Kampung Enggang dekat sini, semalam.

Yang hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Perhubu­ngan Antarabangsa Jabatan Pe­nerangan Malaysia, Laly Haizan Bahari dan Ketua Unit Kenegaraan Jabatan Penerangan Negara Brunei, Da­yang Hamsah Datu Kerna Jaya.

Dalam pada itu, Dayang Hamsah berkata, program pertukaran dan kerjasama ini perlu diteruskam kerana memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Katanya, selain menyeronokkan program berkenaan memberikan pelbagai pengisian bermanfaat yang boleh dikongsikan bersama seterusnya memboleh­kan penambahbaikan dalam program melibatkan Jabatan Pe­nerangan Negara Brunei.