Pelbagai program dan pendekatan dilakukan guru di sekolah berkenaan bagi menarik minat anak masyarakat Orang Asli supaya ke sekolah terma­suk mengadakan program bimbingan di rumah untuk murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Seorang murid tahun enam sekolah berkenaan, Laan Atan, 12, berkata, dia menghargai pengorbanan guru di SK Sungai Mas yang sanggup mengadakan program bimbingan di rumah untuk murid UPSR di sekolah terbabit.

“Saya suka ke sekolah kerana guru di sini bersemangat dalam berikan tunjuk ajar kepada saya. Selain belajar di sekolah guru di sini turut ke rumah kami bagi mengadakan program bimbingan.

“Saya berterima kasih dan saya akan ingat jasa dan pengorbanan guru di sekolah ini kepada saya,” katanya ditemui Utusan Malaysia pada program bimbingan untuk murid UPSR SK Sungai Mas di Kampung Orang Asli Sungai Mas di sini hari ini.

Seorang lagi murid tahun enam, Azrina Amira Hamid, 12, berterima kasih kepada guru di SK Sungai Mas kerana mendidiknya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Mas, Saudi Jamil berkata, program bimbingan berkenaan diadakan bertujuan membantu me­ningkatkan pencapaian akademik murid masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Menurutnya, program itu juga bagi memberi dorongan kepada ibu bapa supaya membantu atau bersama anak-anak mengulang kaji di rumah.

“Program bimbingan seperti ini kita adakan secara santai. Kita merasakan pembelajaran di sekolah sahaja tidak cukup, jadi kita adakan program bim­bingan ini bagi memberikan semangat kepada murid di sini untuk belajar.

“Melalui program ini kita terap­kan kepentingan mengulang kaji pelajaran di rumah dan kita maklumkan kepada anak Orang Asli di sini mereka sukar mendapat keputusan cemerlang jika hanya bergantung pembelajaran di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, program bimbi­ngan di rumah untuk murid UPSR itu melibatkan enam orang guru tahun enam yang akan bergilir-gilir melakukannya.