Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzaman berkata, pembinaan premis baharu itu dibuat kerana pihaknya tidak bercadang untuk membaik pulih enam gerai makanan di tapak berkenaan yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini.

“Sebaliknya, MDJ sudah ada perancangan untuk membina premis baharu di tapak sama bagi kemudahan para peniaga.

‘Pembinaan premis baharu ini yang lebih tersusun dan dilengkapi pelbagai kemudahan diperlukan akan diserahkan kepada pemaju swasta untuk dibangunkan selari dengan perancangan sektor perniagaan di bandar ini,” katanya selepas meninjau kawasan kebakaran di Sudut Selera Benteng baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Dalam kejadian kebakaran pada pukul 5 pagi di lokasi itu pada 4 Julai lalu, tiga gerai menjual makanan dan tiga gerai kosong musnah dijilat api.

Menurut Wan Norizan, gerai-gerai yang musnah terbakar itu dilihat tidak relevan lagi untuk dibaik pulih kerana projek pembangunan premis baharu akan direalisasikan tidak lama lagi.

Katanya, gerai-gerai di Sudut Selera Benteng sudah beroperasi lebih 15 tahun yang terletak di kawasan tumpuan ramai terma­suk pelancong asing yang singgah di bandar ini.

“Penyewa gerai boleh meneruskan perniagaan sehingga diberitahu mengosongkan tapak apabila projek baharu dimulakan oleh pemaju swasta,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga makanan, Sharimah Yunus, 46, menyokong usaha MDJ membina premis baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan meman­dangkan gerai yang ada terdedah dengan risiko kebakaran.

“Saya juga berharap dapat berniaga di premis baharu nanti ke­rana ia adalah lokasi yang strategik dan pasti akan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.