Pengerusi PKO, Mohd. Osmahadzir Osrin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yakin Sultan Abdullah mampu meneruskan kepemimpinan ayahanda baginda yang mesra dan dekat di hati rakyat negeri ini.


“PKO merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah sebagai Paduka Seri Sultan dan raja pemerintah negeri ini dan segala jajahan takluknya.


“Warga PKO mendoakan Sultan Abdullah agar sentiasa dalam peliharaan Allah SWT dan bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan bagi memayungi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Sultan Abdullah diangkat sebagai Sultan Pahang keenam selepas dipersetujui oleh kerabat dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pengumuman berhubung pelantikan berkenaan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar, Pekan pada Sabtu lalu. - UTUSAN ONLINE