Penganjuran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu merupakan antara usaha memeriahkan musim durian dan merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Mohd. Khuzairi yang dikenali dengan panggilan Ujang menjangka lebih satu tan metrik durian dapat disediakan dengan sasaran kira-kira 500 pengunjung dalam pesta makan raja buah berkenaan.

“Kita akan menyediakan pelbagai jenis durian termasuk durian kampung dan D24. Sesiapa yang berminat boleh berkunjung bersama keluarga dan makan durian sepuas hati dalam pesta itu dengan harga berpatutan.

“Orang ramai juga boleh membeli untuk membawa balik raja buah ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Khuzairi berkata, harga yang ditetapkan bagi setiap pengunjung adalah antara RM30 hingga RM50.

Katanya, dia belum dapat menetapkan tarikh sesuai ke­rana masih menunggu maklum balas daripada MPT selepas menyerahkan kertas kerja yang diperlukan.

“Semua durian yang disediakan adalah durian dari negeri ini khususnya di Bentong dan Karak kerana kita mahu memberi pengunjung menikmati keenakan durian Pahang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Datuk Azlan Mohd. Yaman berkata, program julung kali di Temerloh itu dilihat signifikan dalam memperkenalkan lagi daerah ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kami menyambut baik usaha daripada pengusaha durian ini dan akan memberi sokongan dalam menjayakan program tersebut dari semasa ke semasa,” katanya.