Difahamkan, suspek berusia 22 tahun berasal dari Bukit Koman di sini itu membuka gerai teh ais di tepi jalan yang mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan bersama tiga lagi rakannya termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Koman kira-kira pukul 1.15 petang semalam.

“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menjumpai polistirena yang mengandungi 47 bungkusan plastik lut sinar yang diikat getah berisi cecair berwarna kehijauan disyaki air ketum.

“Kesemua suspek berusia 19 tahun hingga 22 tahun termasuk seorang suspek yang pernah ditahan akibat kesalahan sama direman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintenden Yusof Kamis.

Wan Mohd. Zahari berkata, kesemua air ketum dirampas sebanyak 47 liter berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM700.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati air ketum yang dijual dengan harga RM10 sebungkus itu adalah untuk pasaran sekitar daerah ini dan aktiviti berkenaan telah dilakukan kira-kira setahun.

“Kita masih menyiasat sumber daun ketum digunakan yang dipercayai diambil dari kawasan Felda Mempaga di Bentong,” katanya.