Seorang peneroka Felda Kota Gelanggi 4, Ab. Karim Ahamad, 68, terkedu apabila berdepan dengan kejatuhan harga sawit sejak enam bulan lalu sehingga menyempitkan pendapatan bulanannya sekali gus tidak mampu berbelanja keperluan dapur dan kebajikan keluarga.

Lebih memeritkan kehidupannya, Ab. Karim berkata, dia dan isteri, Fadhilah Musa, 60, perlu membiayai kebajikan anaknya, Norfaizah, 39, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Apabila kehidupan kami bertambah sempit selepas harga kelapa sawit jatuh, saya dan isteri terpaksa bekerja menjual roti untuk menampung belanja keperluan keluarga.

“Dalam usia warga emas dan kudrat yang terbatas ini, saya terpaksa menunggang motosikal mengambil roti di Kilang Felda Jengka 11 sejauh 60 kilometer setiap hari berulang alik untuk berjual di sekitar kampung di sini dan Felda berdekatan,” katanya di Felda Kota Gelanggi 4 dekat sini semalam.

Menurutnya, sebelum ini, dia memperoleh pendapatan harian jualan roti antara RM50 hingga RM60 selepas ditolak modal, bagaimanapun sejak harga sawit jatuh dia hanya memperoleh RM20 sehari.

Katanya, pendapatan itu tidak sepadan dengan derita sakit seluruh badan serta berpanas hujan ketika menjual roti berkenaan setiap hari.

“Kekurangan pelanggan di Felda ini berkemungkinan mereka kesempitan wang untuk berbelanja apabila hasil sawit jatuh malah keadaan yang sama dihadapi oleh peniaga kecil lain di sini,” katanya.