Norazman yang mengalami masalah pertuturan dan lembam melakukan kerja itu bagi membantu adiknya, Noraini, 34, mencari wang untuk menyara keluarga setelah bapa mereka, Mat Omar, 71, terlantar akibat diserang penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.

Noraini yang bekerja sebagai pemotong pelepah di ladang kelapa sawit bertanggungjawab menyara tiga beradik OKU lain dalam keluarga itu yang ma­sing-masing berusia 28, 31, dan 49 tahun.

Noraini berkata, Norazman lazimnya keluar dengan menunggang motosikal roda tiga seawal pukul 9 pagi untuk mengutip tin dan bekas plastik terpakai di sekitar Felda Kota Gelanggi 2 dan Felda Kota Gelanggi 4 untuk dijual.

“Biasanya pada sebelah pagi hingga tengah hari, abang saya memperoleh banyak tin kosong dan bekas plastik untuk dibawa pulang.

“Apabila tiba di rumah, dia mengisinya ke dalam guni plastik dan menyimpannya di dalam stor bersebelahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Kota Gelanggi 2 di sini semalam.

Menurutnya, guni yang berisi tin dan bekas plastik berkenaan akan diambil pemborong barang terpakai dari pekan Sungai Jerik, Maran seminggu sekali dengan bayaran antara 14 sen hingga 16 sen sekilogram.

“Pendapatan mingguan hasil jualan tin dan bekas plastik terpakai antara RM50 hingga RM80 ini dapatlah menampung per­belanjaan keperluan dapur untuk meringankan beban keluarga kami,” katanya.