Sebaliknya, apa diumumkan Guan Eng adalah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) de­ngan peruntukan RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah yang mana rata-rata mereka tidak yakin perubahan itu boleh berlaku dalam masa singkat.

Penoreh getah dari Hulu Tembeling, Zainuddin Nong, 50, berkata, dia kecewa menonton pembentangan Belanjawan 2019 kerana kerajaan tidak mengumumkan kenaikan harga getah.

“Kita cukup sedih kerana belanjawan ini hanya memfokuskan sektor lain tetapi mengabaikan kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah yang rata-ratanya kurang berkemampuan.

“Kami penduduk Hulu Tembeling semakin perit sejak kejatuhan harga getah dan lebih terbeban lagi apabila musim tengkujuh mula melanda kawasan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penoreh getah etnik Orang Asli dari Kampung Temetong, Lipis, Roslan Bah Train, 42, pula memberitahu, dia tidak dapat membayangkan apa akan berlaku jika harga getah selepas ini di bawah RM2.

“Pendapatan hasil torehan antara RM10 hingga RM15, apa yang kita boleh buat? Jadi kerajaan bantulah dan tengoklah nasib kami (Orang Asli) yang semakin terhimpit,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam memperoleh bayaran khas RM500 sebaliknya pekebun dan penoreh getah tidak dipedulikan walhal mereka juga adalah penyumbang terbesar dalam sektor ekonomi negara.

Seorang penoreh getah dari Kampung Simoi Baharu, Lipis, Lipat Katod, 40, menjelaskan, kerajaan sewajarnya memberikan keutamaan kepada kebajikan masyarakat Orang Asli di pedalaman.

“Rata-rata kami sebagai penoreh getah dan buruh ladang sawit hanya diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang’ untuk ke­langsungan hidup,” ujarnya.