Pengarah (Pengurusan) PKKI, Simon Ee Yoong Pin berkata, komitmen berkenaan selaras dengan matlamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bagi membantu kebajikan kemanusiaan dan menjadi mata serta telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat.

Katanya, Peka menerusi PKKI akan membantu membuat laporan melibatkan hak-hak yang dinafikan dan kebajikan pekerja asing terabai untuk tindakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Selain mendapat pelbagai fasiliti yang disediakan selepas berdaftar seperti perlindungan 24 jam insurans sehingga RM100,000, peserta turut dipantau agar mana-mana pihak khususnya majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeksploitasi mereka.

“Terdapat segelintir majikan yang sengaja melanggar undang-undang iaitu Akta Kerja 1955 yang jelas melindungi pekerja termasuk pekerja asing. Masalah pemberhentian kerja, tiada kontrak perkhidmatan, bekerja di sektor lain dari yang dibenarkan, waktu kerja, pembayaran gaji, cuti serta tidak diperbaharui permit antara aduan yang kerap diterima dari mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yoong Pin berkata, selain itu, masalah lain yang meliputi kebajikan seperti tahap kebersihan, kemudahan dan penginapan yang tidak mencapai tahap ditetapkan JTK di bawah Garis Panduan Standard Minimum pekerja asing. - UTUSAN ONLINE