WAN ROSDY WAN ISMAIL
WAN ROSDY WAN ISMAIL

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu merugikan ketiga-tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya pun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telah bermula.

“Kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah-daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan yang terlibat dengan projek ECRL.

Daripada jumlah itu pula, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah tanah kerajaan manakala yang lain ialah tanah-tanah milik persendirian, tanah-tanah rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal. - UTUSAN ONLINE