Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara cadangan yang dibuat oleh pihaknya adalah memberikan tugas tertentu kepada pegawai terbabit seperti membantu memperkasakan aspek kenegaraan khu­susnya jati diri orang Melayu dengan disediakan elaun bulanan.

Menurutnya, pegawai Jasa di negeri ini yang merupakan sebahagian daripada 14,000 penjawat awam di seluruh negara di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini yang ditamatkan tugas merupakan antara yang cukup berpengalaman dan berpengetahuan tentang selok-belok kepemimpinan.

“Walaupun kerajaan negeri berdepan kekurangan dana untuk membela kebajikan mereka, namun saya akan memikirkan kaedah serta mekanisme yang sesuai untuk membantu selaras menghargai sumbangan serta bakti mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri dan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan Tiga di sini, semalam.

Wan Rosdy yang juga Ke­tua UMNO Bahagian Cameron Highlands menambah walau bagaimanapun perkara tersebut masih di peringkat cadangan dan beliau akan mengaturkan perjumpaan bagi merancang tugas tertentu selari dengan elaun bulanan yang mahu diberikan.

“Selaku kerajaan negeri pembangkang, UMNO negeri perlu diperkukuhkan menerusi sumbangan pengalaman pegawai terlibat,” katanya.