Yang Dipertuanya, Datuk Fad­zilla Salleh berkata, MPK me­lihat aduan, cadangan dan pendapat orang ramai sebagai pemangkin ke arah mutu perkhidmatan lebih baik dan bukannya sebagai masalah yang boleh melemahkan semangat kerja organisasi.

“Tidak dinafikan bahawa me­lalui aduan, cadangan dan pendapat diterima itu membolehkan kakitangan mencipta inovasi bukan sahaja penambahbaikan terhadap prosedur dan sistem kerja malah penambahbaikan kepada peralatan kerja.

“Jadi, pertandingan inovasi ta­hun ini terbahagi kepada enam kategori atau kluster iaitu pengurusan, Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), alatan dan gajet, alam sekitar, teknologi maklumat dan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu Inovasi MPK di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Fadzilla berkata, inovasi perlu seiring dengan kerja yang dijalankan bagi memastikan perkhidmatan yang disalurkan dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan.

“Walau apa dan bagaimanapun pencapaian MPK, perkhidmatan yang terbaik tetap menjadi keutamaan kepada semua warga kerja serta budaya kerja berasaskan inovasi sentiasa diterapkan dan dipupuk di MPK,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggannya.

Menurutnya, masyarakat kini lebih berpengetahuan serta mendapat banyak pendedahan dengan pelbagai maklumat global melalui pelbagai saluran sama ada media elektronik dan media cetak.

“Bagi menghadapi cabaran ini, setiap warga MPK perlu berpengetahuan dan berkemahiran serta mempunyai kreativiti dan strategi yang berkesan dalam melaksanakan tugas masing-masing,” jelasnya.