Bagi penduduk di situ, batu nisan berkenaan dianggap misteri dan seolah-olah objek itu ‘bernyawa’ kerana strukturnya semakin tinggi sehingga mencecah hampir satu setengah meter yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka serta orang luar.

Ibrahim Aziz
IBRAHIM AZIZ

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dusun, Ibrahim Aziz berkata, kubur lama itu me­nempatkan cucu kepada seorang mualaf yang juga kapitan Cina berasal dari Yunan bernama Loo Soon yang merintis pembukaan kampung berkenaan.

“Kapitan Cina ini singgah di sini untuk mencari emas sebelum membuka kampung ini dan mengahwini seorang wanita tempatan dengan memakai nama Islamnya, Bedu Ahmad atau lebih dikenali Tok Dusun.

“Kampung ini diberikan nama Kampung Dusun sempena nama panggilan mualaf berkenaan. Loo Soon atau Tok Dusun memperoleh empat anak hasil perkahwinan dengan wanita kampung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

BATU nisan kubur cucu Tok Dusun dianggap misteri dan seolah-olah
BATU nisan kubur cucu Tok Dusun dianggap misteri dan seolah-olah objek itu bernyawa kerana strukturnya semakin tinggi.

Berhubung batu nisan misteri itu, Ibrahim berkata, ia berada di kubur seorang cucu Tok Dusun yang dikenali sebagai Tok Karim.

Menurutnya, boleh dikatakan penduduk kampung itu merupakan waris keturunan Loo Soon atau Tok Dusun dan selebihnya tinggal di tempat lain dengan masih mempunyai pertalian darah dengan waris Kampung Dusun.

“Apabila ada sambutan kenduri, Hari Raya Aidilfitri dan acara keramaian tertentu di kampung ini, ramai waris dari luar pulang lalu bertemu dengan sanak saudara di sini sekali gus mereka masih menguatkan ikatan ukhuwah masing-masing,” katanya.

Dia yang juga pesara guru berkata, misteri batu nisan ‘bernyawa’ serta legitimasi Tok Dusun yang berasal dari Yunan menyebabkan ahli kariah di situ berusaha menjaga kubur ber­kenaan untuk mengelakkan kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab melakukan perkara bertentangan dengan akidah Islam di kubur berkenaan.

Abd. Manaf Abd. Majid
ABD. MANAF ABD. MAJID 

Sementara itu, seorang penduduk, Abd. Manaf Abd. Majid, 63, berkata, orang tua-tua di situ mengakui perubahan struktur ketinggian batu nisan cucu Tok Dusun berbanding sebelum ini.

“Penduduk di sini dan waris Tok Dusun menganggap fenomena ini merupakan perkara biasa malahan keunikan ini menjadi tarikan kepada orang luar untuk mengenali lebih dekat kampung ini khususnya sejarah Loo Soon atau Tok Dusun,” katanya.