Dengan aroma berbeza berbanding lemang yang dimasak di dalam buluh, teksturnya juga lembut dan agak lembab dengan curahan santan.

Seorang peniaga di bazar Rama­dan Jalan Stadium di sini, Nor Zehan Mohd. Zaiden, 38, berkata, dahulu juadah berkenaan mudah didapati di Muadzam Shah, Rompin iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kuantan.

“Namun kini mudah didapati di sini selepas saya membuat tempahan khas periuk kera dari masyarakat Orang Asli di sana.

“Sambutan amat menggalakkan dan saya menjual antara 10 hingga 15 kilogram pulut sehari iaitu sehingga 700 biji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurut Nor Zehan, dia menjual set lemang periuk kera berke­naan pada harga antara RM6 hingga RM13 bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Selain lemang, saya juga menjual rendang daging dan ayam serta serunding khas yang didatangkan khas dari Kampung Laut, Kelantan.

“Untuk rasa yang berbeza, saya turut menawarkan lemang periuk kera mangga,” katanya yang turut menerima tempahan untuk sebarang majlis dengan boleh dihubungi di talian 013-9888171.

Sementara itu, seorang pengemar juadah unik itu, Noor Awanis Muslim, 43, berkata, lemang periuk kera menjadi pilihan anak-anaknya kerana memiliki rasa yang berbeza dan sedap.

“Rupanya yang menarik membuatkan anak-anak cukup suka. Setiap lemang dalam bentuk yang mudah dimakan tanpa perlu dipotong seperti lemang biasa.

“Setiap kali puasa pasti saya akan mendapatkannya untuk dijadikan juadah berbuka,” katanya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Muadzam Shah dekat sini.