Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Serandu di sini itu menghidap cerebral palsy sejak lahir menyebabkan pergerakan otot-otot badannya gagal berfungsi secara normal.

Ibunya, Hafizah Mohamad Hamdan, 27, berkata, keluarga­nya berterima kasih kepada UMP kerana menghasilkan sebuah kerusi roda khas yang disesuaikan dengan keadaan Muhammad Adam Ayrash selain menghargai sokongan dan bantuan guru yang prihatin serta mengambil berat tentang anaknya itu.

Sebelum ini, kata ibu tunggal berkenaan, pergerakan Muhammad Adam Ayrash menggunakan kereta sorong (stroller) dan kerusi roda biasa namun memandangkan keadaannya yang semakin membesar menyebabkannya mudah menggelongsor.

“Dengan menggunakan Adam’s Chair, Muhammad Adam Ayrash kini dapat menulis di atas meja dan lebih selesa untuk belajar bersama rakan lain di dalam kelas,” katanya selepas menerima kunjungan rombongan UMP di SK Serandu, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FKM UMP, Prof. Madya Ir. Dr. Nik Mohd. Zuki Nik Mohamed bersama kumpulannya.

Adam’s Chair dicipta dengan mengambil kira beberapa ciri penting seperti papan meja mudah alih, sistem brek dan kunci, tempat duduk yang selesa serta ciri-ciri keselamatan lain.

Dalam pada itu, Nik Mohd. Zuki berkata, pihaknya bersyukur kerana berkat usaha kakitangan Manufacturing Focus Group berjaya menghasilkan Adam’s Chair bagi kegunaan seharian Muhammad Adam Ayrash yang selari dengan usaha UMP dalam agenda Memasyarakatkan Teknologi bagi manfaat masyarakat setempat.

“Idea ini bermula semasa sesi lawatan UMP ke sekolah ini dan pengurusan sekolah memaklumkan tentang situasi seorang muridnya yang menghidap cerebral palsy serta memerlukan kerusi bersesuaian dengan keadaannya.

“Setelah mengadakan beberapa kali perbincangan antara pihak sekolah dan UMP, Adam’s Chair berjaya dihasilkan dengan usahasama mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dalam tempoh sebulan,” katanya.