Rata-rata pengunjung khususnya generasi muda teruja melihat kereta mini klasik tersebut yang diubah suai dengan menampilkan aksesori berwarna-warni dan penataran kilauan saduran di bahagian enjin.

Yang Dipertua MDL, Datuk A. Rahman Hamzah berkata, pihaknya dan agensi kerajaan di sini turut memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan produk pertanian kepada pengunjung yang singgah menyaksikan karnival itu yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Karnival empat hari ini diisi dengan pelbagai acara menarik dan sesuai untuk mengetengahkan produk pertanian tempatan serta pelancongan selain pa­meran dan pertandingan kereta mini klasik.

“Karnival ini yang tersenarai sebagai aktiviti Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 juga menjadi pentas pertunjukan pelbagai acara kebudayaan, kesenian, sukan, pameran agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika ditemui pada karnival berkenaan.

Menurut A. Rahman, karnival dimeriahkan dengan persembahan nyanyian artis tempatan dan persembahan tarian terma­suk gamelan, nasyid serta sketsa oleh 188 penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis.

“Kita turut mengadakan pro­g­ram Fun Ride iaitu aktiviti berbasikal di bandar ini dan laluan ekstrem di Padang Tengku melibatkan penyertaan para belia di samping pengisian modal insan menerusi Forum Perdana Hal Ehwal Islam pada sebelah malam,” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Lipis berkata, MDL amat menghargai komitmen agensi kerajaan dan pengusaha tempatan kerana memeriahkan karnival tahun ini yang menarik kehadiran ramai pengunjung untuk berbelanja serta menyaksikan pelbagai acara disediakan.

“Bagi pelancong asing, pengan­juran karnival ini dapat memberi pengetahuan dan pengalaman mengenai artifak zaman kolonial British, pusat pelancongan Taman Negara Kenong, Kuala Medang, perkampungan Orang Asli di samping kesenian dan makanan tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Gua Musang, Kelantan, Nik Azman Nik Salleh, 45, berkata, setiap tahun dia membawa keluarganya menginap dan bersiar-siar di bandar ini.

“Komitmen MDL menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan memang bertepatan untuk menghidupkan Bandar Bersejarah Kuala Lipis kerana di sini terdapat artifak zaman kolonial British dan menjadi persinggahan pelawat dari Lembah Klang ke Kelantan, Cameron Highlands serta lokasi lain,” katanya.