Lebih menarik sayur-sayuran yang dijual oleh Norizan Yusoff, 52, bukan mengikut harga pasaran sebaliknya menjualnya de­ngan harga RM1 bagi seikat sayur.

“Saya bersyukur menjual sa­yur-sayuran dengan harga RM1 seikat kerana lebih penting ia habis dijual. Orang ramai suka membeli sayuran yang saya jual selain harga yang rendah, kualiti tanaman ini segar.

“Selain sayur, saya juga menjual jagung dengan harga yang rendah, bagi saya rezeki ini sekurangnya-kurangnya dapat menampung perbelanjaan keluar­ga saya,” ujarnya ketika ditemui di tanah rancangan di sini baru-baru ini.

Dia dibantu suaminya yang merupakan seorang peneroka, Abdul Jaafar, 62, menanam sa­yur-sayuran dan jagung sejak tiga tahun lalu di kawasan tanah terbiar seluas kira-kira 0.2 hektar di tanah rancangan ber­kenaan.

Wanita itu memberitahu, dia menanam jagung pada pusingan pertama dalam tempoh lima bulan sehingga habis dipetik sebelum beralih kepada sayur-sayuran.

“Selepas jagung dipetik dan dipasarkan, saya mula menanam benih sawi hijau, sawi ke­rinting, sawi Jepun, kangkung dan bayam. Kebiasaannya antara dua hingga tiga bulan tanaman ini boleh dijual.

“Kami hanya menggunakan baja kompos yang dibeli dan tidaklah sesukar mana pun menjaganya kerana tanah di sini subur, berdekatan dengan air, malah terhindar daripada gangguan haiwan liar,” katanya.

Norizan yang merupakan ibu kepada lima anak berusia antara 17 hingga 33 tahun itu berkata, lazimnya sayur-sayurannya dijual pada sebelah pagi di gerai berdekatan kebunnya iaitu sebanyak 100 ikat sehari dengan harga RM1 seikat.