Suami Rahimah, Nik Hassan Nik Leh, 68, berkata, MyKad tersebut dimohon pada Mei lalu selepas enam bulan isterinya yang kini terlantar akibat penyakit berkenaan tidak mempunyai kad pengenalan diri itu kerana hilang.

“Isteri saya sudah enam tahun menghidap penyakit angin ahmar, sebelum ini kad pengenalannya ada tetapi hilang. Akibat sukar untuk melakukan urusan se­perti dengan bank, saya dan anak ke JPN pada Mei lalu memohon MyKad baharu untuknya,” kata­nya selepas menerima kunjungan JPN negeri di rumahnya di sini.

Yang turut hadir, Pengarah JPN negeri, Juzilawati Kamarudin.

Nik Hassan yang merupakan bekas kakitangan Felcra Berhad (Felcra) berterima kasih kepada JPN kerana sudi turun padang menyerahkan MyKad Rahimah.

“Saya berharap dengan adanya MyKad ini memudahkan urusan isteri selepas ini,” kata bapa kepada enam orang anak yang kini menjaga isterinya sepenuh masa.

Terdahulu, pihak JPN ne­geri yang diketuai Juzilawati dan Ketua Unit Perkhidmatan Operasi JPN Putrajaya, Mokhzan Ariff Mohd. Yusof melawat warga emas yang uzur, Nur Fatimah Mahmud, 63, sambil menyampaikan sumbangan barangan makanan harian dan memberi per­khidmatan membuat MyKad baharu di rumahnya di Kampung Baru Seri Teruntum.

Sementara itu, Juzilawati berkata, sebanyak 571 permohonan MyKad diterima dan 40 program turun padang dilaksanakan JPN negeri sejak Januari lalu.

“Jumlah permohonan ini meningkat berbanding 540 pada tahun lalu dan kita di JPN sentiasa membuat penambahbaikan perkhidmatan termasuk turun padang bagi memastikan semua rakyat mendapat akses dan kemudahan yang setaraf walaupun kurang bernasib baik serta uzur,” katanya.