Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pentadbiran sekolah perlu mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada peraturan disiplin dalam menangani isu tersebut.

“Kejadian ini berlaku di dalam kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kalau berlaku di luar sekolah sekalipun, sebagai pelajarnya pihak sekolah perlu juga memberikan perhatian.

“Saya akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan pengurusan sekolah berhubung perkara ini. Meskipun ada laporan polis, pihak sekolah tidak boleh lepas tangan kerana mereka mempunyai peraturan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pelajar berkenaan, Muhammad Nabil Iman Shafie, 16, di rumahnya di Taman Padang Luas di sini semalam.

Pada Ogos lalu, Muhammad Nabil Iman yang merupakan pelajar tingkatan empat dipukul seorang pelajar lain di sekolah­nya sehingga patah tulang kaki dan retak tempurung lutut.

Ekoran itu, dia tidak dapat bersekolah sehingga hari ini dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

Keluarga mangsa menyatakan rasa kesal dengan mendakwa pengurusan sekolah bersikap lepas tangan dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

Menurut Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, seperti kes yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), pengurusan sekolah tetap mengambil tindakan meskipun laporan polis te­lah dilakukan keluarga mangsa.

Katanya, sekolah mempunyai peraturan tersendiri dan polis akan melakukan siasatan serta mengambil tindakan berdasarkan kepada undang-undang yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pelajar ber­kenaan yang enggan kembali ke sekolah kerana trauma, supaya meneruskan persekolahan di sekolah lain.

“Keluarga mangsa hendaklah memainkan peranan memujuknya untuk bersekolah kerana ia merupakan langkah terbaik bagi memastikan dia mendapat pendidikan yang baik demi masa depannya,” kata beliau.