Difahamkan kawasan takungan air berkenaan semakin membesar dan terhasil selepas anak sungai airnya mengalir ke bawah ditimbus sebelum digantikan dengan saluran paip air bawah tanah yang kini tidak berfungsi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan berkenaan dipenuhi air dengan hanya kira-kira satu meter sahaja untuk melimpah.

Air yang bertakung menyebabkan jalan ke kebun durian dan getah tenggelam. Ba­nyak pokok yang mati manakala tiang elektrik di tepi jalan ber­kenaan juga digenangi air.

Malah terdapat retakan di bahagian longkang yang dibina untuk kawasan perumahan berkenaan serta ada antara rumah teres dua tingkat berhampiran ‘kolam berkenaan me­ngalami keretakan.

Seorang penduduk, Lee Weng Foo, 63, berkata, kewujudan takungan air berkenaan menimbulkan keresahan kepada penduduk berhampiran, terutamanya komuniti Taman Saga yang mempunyai lebih 800 buah rumah.

“Sebenarnya kami hidup dalam ketakutan setiap masa, kawasan takungan ini semakin membesar, dan air hampir melimpah apabila hujan. Jadi berapa lama kawasan tanah ini mampu menahan sedangkan longkang konkrit pun sudah retak.

“Kami takut berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir lumpur, siapa tahu keadaan di bawah tanah pada masa ini mungkin sudah berongga dan menunggu masa untuk pecah,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi hingga kini tiada tindakan sewajarnya yang dilakukan.

Dalam pada itu Tarmeze Mustafa, 56, berkata, sekiranya tebing tanah yang menampan ‘kolam’ berkenaan pecah akan menyebabkan tragedi besar berlaku yang bukan sahaja melibatkan Taman Saga tetapi Kampung Kemansur dan Kampung Perting yang terletak di bawah bukit.

Katanya, tangki air Perbadanan Air Pahang (Paip) juga berisiko pecah dan sekiranya kejadian itu berlaku bermakna menggundang bencana lebih buruk termasuklah melibatkan kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.

“Kalau pecah kawasan ini, usaha menyelamat juga sukar kerana satu-satunya jalan di sini akan menjadi sungai dan kawasan bawah bukit yang terdapat banyak rumah kampung mungkin menjadi seperti kawah,” ujarnya.