MOHD. NOR YATIM
MOHD. NOR YATIM

Aktiviti membawa patin luar termasuklah ikan patin dari perkampungan ‘Kemboja’ di Pekan yang di­letakkan sementara di dalam sangkar di Su­ngai Pahang sebelum dijual sebagai patin Temerloh dibim­bangi menjejaskan industri ikan patin yang terkenal di daerah ini.

Pengerusi Konsortium Koperasi Penternakan Ikan negeri, Mohd. Nor Yatim berkata, aktiviti itu yang telah berlarutan perlu dihentikan kerana boleh menjejaskan industri ikan patin di daerah ini.

“Masalah kekurangan bekalan ikan patin antara punca yang mendorong kepada sesetengah pihak untuk membawa ‘patin Kemboja’ dari Pekan sebelum meletakkannya di dalam sangkar selama seminggu atau dua minggu sebelum dijual.

“Jadi saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memandang serius perkara ini dan memastikan tiada lagi aktiviti ‘patin celup’ yang boleh menjejaskan industri patin daerah ini yang terkenal sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Nor, penjualan patin luar yang dibawa ke daerah itu boleh menjejaskan industri ikan patin memandangkan rasa patin dari luar berbeza dengan patin Temerloh.

Katanya, dari segi saiz pula katanya, patin yang dibawa masuk ke daerah ini dilihat lebih besar yang dipercayai diberi pelbagai makanan termasuklah perut ayam.

“Rasa ‘patin celup’ yang dibawa dari luar memang tidak sedap berbeza daripada patin sungai Temerloh yang boleh menyebabkan peminat patin tidak berasa puas menikmati juadah patin yang dihidangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa ini Konsortium Penternakan Ikan negeri mempunyai kira-kira 20 buah sangkar ternakan ikan patin di Sungai Pahang.

Katanya, cabaran utama penternakan di sungai berkenaan adalah risiko ikan mati akibat air yang keruh dan sebagainya termasuklah keadaan cuaca yang tidak menentu.