Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 10 malam di Pintu 1 MCKIP dipercayai berpunca daripada mesej tidak benar yang tular di media sosial pada 10 Julai lalu.

Katanya, mesej itu mendakwa berlaku kejadian di mana seorang pemandu lori warga tempatan maut dipukul oleh pegawal keselamatan MCKIP yang dipercayai menimbulkan perasaan tidak puas hati mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

"Kumpulan lelaki terbabit didakwa berkumpul di hadapan pos pengawal dan bertindak membaling objek, memecahkan cermin, mematahkan palang dan merosakkan meja serta kerusi yang ada di situ.

"Perbuatan itu menyebabkan empat pengawal cedera termasuk seorang mangsa yang berusia 28 tahun patah kaki kerana dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Mohamad Noor menambah kejadian itu dileraikan pasukan polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, pengawal keselamatan yang patah kaki itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini, manakala tiga lagi mangsa menerima rawatan pesakit luar.

Mohamad Noor mengesahkan setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan pihaknya telah mengambil keterangan pengawal keselamatan serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Multimedia kerana menyebarkan berita tidak benar.

Beliau juga menyifatkan tindakan menyebarkan maklumat tidak benar itu sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab. - BERNAMA