Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, setiap individu perlu berfikir secara rasional sebelum mengeluarkan kenyataan yang bersifat provokasi dan boleh menyentuh sensitiviti pelbagai kaum demi menjaga kelangsungan keamanan negara.

Beliau berkata, setiap individu perlu bertanggungjawab dalam menjaga dan memelihara keamanan yang dinikmati tanpa mengeluarkan kenyataan yang menyinggung pihak lain.

"Bulan kemerdekaan ini menjadi medan kepada setiap kaum yang patriot untuk memperbaharui tekad mempamerkan semangat kenegaraan yang tinggi.

"Keharmornian dan  keamanan negara yang dikecapi sekarang tidak harus diperlekehkan kerana tidak menguntungkan sesiapa malah boleh menjuruskan kepada kerosakan jangka panjang," katanya selepas melancarkan program Kembara Ziarah Kasih Jalur Gemilang Parlimen Temerloh di sini semalam.

Kembara Jalur Gemilang Parlimen Temerloh sejauh 50 kilometer itu menyantuni tiga asnaf iaitu Normala Jalaludin, 63, di Kampung Mempateh; Ahmad Wok, 51, dari Kampung Teris dan Mohd. Wasir Masran,60, dari Kampung Jergoh serta seterusnya program bersama rakyat di Felda Lakum, Lanchang.

Seramai 100 pemuda dari Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya dan pemuda tempatan berkonvoi menunggang motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena program berkenaan.

Mohd. Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, walaupun rakyat bebas bersuara di negara mengamalkan demokrasi seperti Malaysia tetapi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham mengenainya.

Tegas beliau, dalam konteks tersebut, tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

"Kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha provokasi dan mereka yang cuba mencabar undang-undang negara. Ini atas kepentingan negara bangsa.

"Kesukaran para pejuang dan pemimpin terdahulu membina negara bangsa cemerlang perlu dihargai serta dipelihara sepenuh jiwa," katanya. - UTUSAN ONLINE