Seman Jaafar, 83, yang tidak dapat berjalan dan isterinya Lijah Ismail, 82, yang kini terlantar di katil hanya mengharap­kan bantuan anak bongsunya, Rustam, 30, yang mengalami masalah mental untuk urusan seharian termasuk menyediakan makanan.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, kea­daan rumah warga emas berke­naan tidak terurus dan anak bongsu mereka itu memasak ayam yang hanya direbus bersama dengan sayur sebagai menu harian mereka.

Seman berkata, dia yang tidak dapat berjalan sejak lima tahun lalu hanya mengharapkan pendapatan daripada Felda kira-kira RM400 sebulan untuk meneruskan kehidupan.

“Makan dan minum kami memang susah, saya hanya mengharapkan anak saudara untuk membeli makanan manakala makan apa yang dimasak oleh anak saya yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Saya makan apa yang disediakan anak saya, manakala isteri saya yang terlantar sakit disuap oleh anak saya yang menyediakan makanan kami setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Temerloh yang juga Timbalan Menteri Kerjaraya, Mohd. Anuar Tahir bersama Kami Anak Felda (KAF) melawat pasangan suami isteri warga emas itu di samping menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Menurut Seman, dia dan isterinya tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital dan hanya makan ubat tradisio­nal yang diberikan jiran.

Ujarnya, dengan keadaan mereka yang tidak dapat berjalan dan pendapatan sebagai peneroka dengan hasil kira-kira RM400 sebulan adalah mustahil untuk mereka pergi mendapatkan rawatan di hospital.

Orang ramai yang ingin me­ng­hulurkan bantuan kepada ke­luarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Seman 156084005126.