Projek sepanjang 15 kilometer itu beberapa kali terbengkalai sehingga menyusahkan penduduk untuk berulang-alik di laluan berkenaan.

Malah terdapat projek jajaran baharu yang dibina dan gagal disiapkan sebelum ini termasuk beberapa pembetung besar yang dibiarkan tersadai di tepi jalan sehingga boleh mengundang kemalangan sekiranya kenderaan terbabas.

Senario berkenaan turut mengundang ketidakselesaan pemandu dan pekebun untuk memunggah hasil kampung iaitu sayur-sayuran, sawit dan getah ke bandar Jerantut serta kilang berhampiran.

Berikutan itu, penduduk merayu supaya kerajaan segera menyiapkan projek itu berasaskan keprihatinan terhadap masalah mereka serta mempercepatkan pembangunan kawasan berkenaan.  

Seorang peniaga di Simpang Ibul Tunggal, Zakaria Wahi, 64, berkata, sehingga ini penduduk terpaksa menggunakan jalan lama untuk berurusan di bandar Jerantut melalui Simpang Jengka 8.

"Jalan lama ini mengundang kesukaran bagi pemandu dan penunggang motosikal kerana laluannya bengkang-bengkok dan kerap berlaku kemalangan.

"Seingat saya, projek membuat jajaran bermula sejak 20 tahun lalu tetapi sehingga ini tidak nampak pun jalan baharu untuk menyenangkan kami berurusan di bandar," katanya.

Rakannya, Mohd. Hatta Daud, 49, pula berkata, projek itu terbengkalai sejak sekian lama yang mana keadaan berkenaan mengecewakan penduduk di kawasan tersebut.

"Sampai bila kami hendak menunggu? Walaupun projek ini dirintis oleh kerajaan sebelum ini tetapi sewajarnyalah kerajaan sekarang menyempurnakan semula pembinaannya sehingga siap," ujarnya. - UTUSAN ONLINE