MOHAMMAD ALIF NAFIS AMRAN yang menghidap sindrom Vactrel mengalami pelbagai kecacatan fizikal memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan.

Ekoran sindrom berkenaan, bayi buat pasangan Amran Tahir, 46, dan Norkintan Abdul Rahman, 38, itu perlu menjalani beberapa pembedahan yang memerlukan sumber kewangan besar bagi tujuan tersebut.

Nor Kintan berkata, cahaya mata kelimanya itu lahir menerusi pembedahan dan menghidap pelbagai penyakit kronik berikutan kelahiran pramatang pada usia kandungan lapan bulan.

Katanya, Mohammad Alif Nafis dilahirkan dengan tiada lubang dubur dan buat sementara waktu, bayinya menggunakan lubang stoma di tepi perut untuk membuang air besar.

“Bagi kos stoma sahaja memerlukan RM600 sebulan tidak termasuk susu formula bernilai RM160 sebulan, botol khas berharga RM100 dan kos rawatan susulan serta bilik khas untuk­nya berhawa dingin bernilai lebih RM1,500 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dekat sini baru-baru ini.

Menurut Norkintan, Mohammad Alif Nafis turut mengalami beberapa masalah kesihatan sejak lahir iaitu jantung berlubang, tulang belakang tidak sempurna, masalah buah pinggang, paru-paru, tangan, sumbing dan tiada lelangit.

Katanya, doktor pakar akan membuat pembedahan awal membentuk bibir dan lelangit selepas berat bayinya itu mencecah 3.5 kilogram.

“Selepas itu doktor akan membuat saluran lubang najis bagi membolehkannya membuang najis mengikut saluran normal,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang suri rumah dan suaminya bekerja sebagai seorang pemandu lori sawit, mereka agak buntu untuk menyediakan kos rawatan terutama pembiayaan pembedahan anaknya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur serta pembedahan lain yang memerlukan kos puluhan ribu ringgit.

“Saya dan keluarga berterima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan termasuk Datuk Seri Shahaniza yang menyatakan komitmen menyumbang sebanyak RM200 sebulan.

“Kami masih berharap orang ramai sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan per­belanjaan kos rawatan Mohammad Alif Nafis kerana tidak berkemampuan untuk mendapatkan wang sebanyak itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada Nor Kintan menerusi akaun Bank Sim­panan Nasional (BSN) 0630029000073905 atau Bank Rak­yat (220301495357) atau meng­hubungi wanita berkenaan di talian 010-5775818.