Seorang penduduk, Lee Fei Hwei, 30, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu namun kian serius apabila semakin ramai yang membuang sampah di situ.

“Sudah beberapa kali sampah sarap ini dibersihkan tetapi bila dibersihkan pada sebelah pagi, sebelah petang sudah ada semula.

“Tindakan kesan jangka pendek memang ada tetapi kami mahukan tindakan jangka panjang agar masalah ini diselesaikan tanpa berulang lagi,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, bagi suri rumah, Tan Chin Khoon, 44, sejak masalah itu bermula, dia bimbang tentang keselamatan dan kesihatan mereka sekeluarga.

“Mereka bukan sahaja membuang sampah-sampah kecil tetapi sampah binaan dan domestik yang menyebabkan kami berdepan de­ngan bau busuk sepanjang hari dan pelbagai penyakit boleh berlaku seperti demam denggi selain gangguan anjing liar.

“Mereka yang membuang sampah di sini datang dengan lori besar, plastik hitam dua tiga bungkus sewenang-wenangnya ‘dilemparkan’ dari dalam kereta terus ke sini. Nak tegur pun takut sebab keselamatan kami boleh terancam kerana tidak kenal mereka itu siapa,” katanya yang tinggal di kawasan berke­naan sejak 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, wakil Alam Flora Sdn. Bhd., Khairul Azman Sapwari berkata, pihaknya sudah beberapa kali membersihkan kawasan itu walaupun bukan di bawah selenggaraannya.

“Jika ada aduan kami akan bersihkan sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Alam Flora,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Perba­danan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Norul Naqib Che Mat berkata, mereka akan mengenal pasti pihak yang terlibat untuk dikenakan tindakan segera.