Kejadian berlaku kira-kira 10 malam itu berlaku ketika Salmiah Saad, 61, tiada di rumah kerana sedang mengikuti ceramah yang disampaikan pendakwah terke­nal, Datuk Mohd. Kazim Elias bersama seorang anak perem­puan, dua cucu serta menantunya di Dataran Felda Jengka 18.

Salmiah berkata, semua dokumen penting, pakaian, perabot dan peralatan dapur musnah dalam kejadian itu.

Katanya, kejadian itu ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ selepas suaminya, Ghazali Lebai Saari, 61, meninggal dunia akibat penyakit di dalam perut sebulan lalu dan kini rumahnya pula musnah dalam kebakaran.

“Bagaimanapun, kereta Proton Pesona saya sempat diselamatkan jiran. Saya reda dengan ujian Allah SWT dan menganggap kejadian ini ada hikmah disebaliknya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Bomba dan Penyelamat Jengka, Mat Zain Mat Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 10.06 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, katanya, mereka mendapati rumah mangsa musnah keseluruhan namun pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Jumlah sebenar kerugian dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.