Ketua Polis negeri, Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad berkata, program julung kali diadakan itu bagi menghargai jasa dan pe­ngorbanan anggota polis semasa hayat mereka dan keluarga masing-masing.

“Sumbangan sebegini diberikan kepada balu-balu anggota polis bukan sahaja untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, tetapi mengenang jasa bakti anggota menjaga keamanan, keselamatan orang ramai dan negara,” katanya selepas Program Bantuan Kepada Balu-balu Warga PDRM Kontinjen Pahang di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar itu.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri.

Sementara itu, Mohd. Zakaria berkata, polis akan meningkatkan kawalan keselamatan khususnya operasi rondaan sebagai langkah pencegahan jenayah terutama di kawasan kediaman dan premis perniagaan sepanjang Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ketika musim perayaan ini, kita akan meningkatkan rondaan selain menambah bilangan anggota rondaan. Kita juga akan menempatkan lebih ramai anggota yang berpakaian biasa di kawasan berisiko berlaku jenayah,” katanya.

Tambah beliau, anggota dan pegawai polis Pahang juga sentiasa bersiap sedia dalam memastikan keadaan di negeri ini terkawal daripada kegiatan jenayah.

“Begitu juga rondaan di kawasan perumahan dan kampung, anggota kami akan memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat.

“Saya menasihatkan orang ramai yang hendak pulang ke kampung supaya mengunci rumah dengan baik dan menyimpan barang berharga di tempat selamat,” katanya. - UTUSAN ONLINE