Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, jika ada pihak yang mengatakan kononnya Malaysia sebuah negara bankrap atau perlu diselamatkan, ia adalah penipuan untuk menghasut rakyat semata-mata.

Dari segi kebenarannya, kata beliau, semua badan penarafan antarabangsa termasuk Bank Dunia mengatakan Malaysia berada pada landasan ekonomi yang berjaya dan berkembang ke tahap kekuatan lebih baik.

“Ini kesimpulan yang dibuat oleh badan-badan penarafan dunia. Bukan dikatakan pemimpin pembangkang, ini bukan pemimpin parti bunga yang cakap.

“Ini adalah pakar ekonomi dunia yang kata bahawa Malaysia ini ekonominya diuruskan dengan begitu baik dan semakin berjaya,”

katanya ketika berucap pada Majlis Kongsi Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri kira-kira 3,700 masyarakat pelbagai kaum di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, pemimpin setempat dan jawatan kuasa UMNO Bahagian Pekan.

Ekonomi Malaysia dilaporkan mencatat pertumbuhan 5.9 peratus pada 2017, melepasi unjuran yang dibuat kebanyakan penganalisis termasuk Bank Dunia.

Pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan lima peratus yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015. Pada suku keempat 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.9 peratus, berbanding 4.5 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya. - UTUSAN ONLINE