NURZARINAH ZAKARIA (kiri) dan Mohd. Azeem Mohd. Razali gembira selepas menerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Muadzam Shah Kali Ke-12 di Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan, Pahang, kelmarin.

Pemegang Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) itu berkata, tanpa semangat daripada ibunya yang kini berusia 64 tahun, tidak mungkin dia mampu meraih kejayaan sedemikian di samping beberapa anugerah lain seperti Anugerah Inovasi Terbaik.

“Hadiah ini untuk emak (Rosnah Kutiran). Dari awal penga­jian, saya bertekad hendak menghadiahkan kejayaan untuk emak dan saya sendiri tidak me­nyangka dipilih sebagai penerima anugerah tertinggi seperti ini.

“Saya belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membuktikan saya juga mampu berjaya dan memberi inspirasi kepada orang lain iaitu generasi muda,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut di Bukit Gambang Resort City di sini semalam.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu antara 1,036 graduan yang menerima diploma ma­sing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan dan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohammad Naim Yaakub.

Yang turut hadir, Pengarah PMS, Hassan Ismail.

Nurzarinah penerima anugerah bagi sesi Disember 2016 yang bercita-cita menjadi pensyarah kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sementara itu, Mohd. Azeem Mohd. Razali yang menerima anugerah sama bagi sesi Jun 2017 pula berkata, dia hanya menyasarkan untuk mendapat Anugerah Ketua Jabatan namun menerima kejayaan berganda apabila turut dipilih sebagai penerima Anugerah Pengarah.

“Saya bersyukur dan sentiasa berpegang kepada prinsip jika kita membantu agama Allah SWT, pasti Allah akan membantu kita.

“Kejayaan ini pasti ada hikmahnya tersendiri dan saya akan terus berusaha untuk berjaya di dunia dan akhirat,” kata pemegang Diploma Rekabentuk Grafik yang kini bekerja sebagai Pengarah dan Perunding Krea­tif di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor.