Ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Siti Esah berada di rumah mereka bersama seorang anak perempuannya, Nurwahida Sulaiman, 25, yang merupakan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tinggal bersamanya kerana sedang me­lakukan latihan praktikal di Bentong, dekat sini.

Nurwahida berkata, kebakaran berkenaan yang memusnahkan rumah itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira hampir setahun selepas kematian bapanya pada September tahun lalu itu merupakan satu ujian besar bagi keluarga mereka.

“Saya seperti tidak percaya kebakaran yang berlaku melibatkan rumah saya hari ini kerana sebelum ini hanya mendengar mengenainya melibatkan rumah orang lain.

“Saya berasa sayu kerana baru tahun lepas kehilangan ayah dan hari ini rumah mula musnah terbakar. Kami tidak memikirkan apa-apa lagi mengenai Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tiba,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di hari ini.

Menurut Nurwahi­da, kejadian tersebut juga menyebabkan dia buntu untuk memulakan pengajian di UMP pada bulan depan selepas semua barangannya termasuk komputer riba dan buku rujukan musnah.

Berhubung kejadian berkenaan, dia berkata, ia berlaku dengan pantas yang mana api marak de­ngan cepat sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barang.

“Semasa kejadian, saya melihat kotak suis utama terbakar dan dalam masa lima minit sahaja api marak memusnahkan rumah menyebabkan saya dan ibu menyelamatkan diri dengan lari keluar,” katanya.

Sementara itu, Siti Esah berkata, dia yang pada masa ini terpaksa menumpang di rumah menantu­nya di Felcra Paya Laman di sini melupakan hasrat berkumpul be­ramai-ramai bersama tujuh anak­nya di rumah pusaka berkenaan pada sambutan Hari Raya Aidiladha akan datang.

“Saya sedih kerana rumah pusaka ini musnah sama sekali dan berharap dapat membina rumah baharu di tapak yang sama,” ujarnya.