Berbekalkan kemahiran pertukangan dan inovasi, warga emas yang tinggal bersama isteri­nya, Fatimah Mat Dom, 66, itu memilih untuk membuat replika ‘rumah peneroka’.

Mohd. Yusoff berkata, dia jarang masuk ke ladang sejak harga sawit jatuh sehingga pendapatan bulanannya di bawah RM300 dan terpaksa melakukan kerja lain untuk menampung pendapatan keluarga.

“Menerusi pengalaman dan kemahiran menukang rumah sejak usia muda, saya hanya mampu membuat replika rumah peneroka untuk dijual sebagai hiasan.

“Pada mulanya saya tidak yakin replika ini mendapat sambutan, tetapi lama kelamaan mula dikenali ramai sehingga ditempah pihak pengurusan Felda, sekolah dan penduduk untuk dijadikan hiasan di halaman rumah dan pejabat,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi 4 dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, replika berkenaan tulen dan menggambarkan spesifikasi sebuah rumah peneroka yang asal sejak Felda ditubuhkan serta begitu nostalgia sehingga menjadi tarikan dalam kalangan peneroka dan pihak tertentu.

Bapa kepada tujuh anak dan 24 cucu itu berkata, peralatan membuat replika itu terdiri daripada paku, papan, atap asbestos, zink, cat varnish dan dibuat tagam pada bahagian tertentu supaya replika berkenaan kelihatan lebih kemas serta tahan lama.

“Harga replika ini bergantung kepada saiznya, iaitu antara RM1,000 hingga RM2,000 manakala tempoh menyiapkannya antara tiga hingga empat minggu.

“Kebanyakan mereka yang membuat tempahan replika ini berpuas hati dan teruja apabila melihat hasil kreatif ini yang saling tak tumpah seperti rumah peneroka,” katanya.