Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang juga penjaga premis berkenaan.

“Kesemua mangsa yang di­selamatkan itu merupakan warga Thailand yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Polis menjalankan siasatan lanjut kemungkinan pas lawatan 17 wanita ini dimanipulasi oleh pemilik premis untuk menjadikan mereka sebagai pelayan di pusat hiburan itu memandang­kan ia sentiasa diperbaharui,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen ne­geri di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes ber­asingan, Othman berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes curi antaranya komputer riba, telefon bimbit dan jam ta­ngan di sekitar Balok serta Beserah di sini sejak Jun lalu dengan penahanan 11 individu antara 15 Disember hingga 31 Disember lepas.

Katanya, kejayaan itu selepas anggotanya menahan dalang kes berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun disusuli suspek-suspek lain.

“Salah seorang daripada me­reka adalah teman wanita suspek sendiri yang bertindak sebagai orang tengah menjual barangan curi tersebut kepada pihak ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bertindak atas maklumat orang awam, polis menahan seorang lelaki berhubung kes bunuh pekerja warga Myanmar di Bera, dekat sini kelmarin.

Katanya, mangsa bersama suspek berusia 30 tahun mempunyai perancangan untuk keluar dari negara ini berikutan tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah.

“Ekoran tidak setuju de­ngan cadangan suspek, berlaku perselisihan faham antara mereka yang berakhir dengan kematian mangsa akibat tetakan di bahagian leher dan kepala.

“Mereka dikatakan baharu sahaja bekerja di negara ini sejak Oktober 2018 sebelum berpakat untuk melarikan diri,” katanya.