Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sementara menunggu usaha membaik pulih gerai yang terbakar, peng­usaha berkenaan boleh segera memulakan perniagaan mereka di tempat lain di bandar ini.

“Pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) telah mengenalpasti gerai-gerai kosong dan hasil perjumpaan dengan peng­usaha gerai sebelum ini mereka bersetuju berpindah untuk segera menjalankan perniagaan.

“Ini adalah usaha untuk membantu mereka dan sekiranya selepas ini mereka mahu kembali ke lokasi asal selepas pro­ses membaiki siap, pihak MPT akan mempertimbangkan dan memberi mereka keutamaan,” katanya selepas lawatan wakil Pemangku Raja Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Al-Sultan Abdullah, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin; ADUN Mentakab, Woo Chee Wan; Pegawai Daerah, Datuk Azlan Mohd. Yaman dan Yang Dipertua MPT, Jezlily Jamaluddin.

Pada 17 Mac lalu, sebanyak 16 buah gerai makan di Bukit Angin yang merupakan antara lokasi popular masakan ikan sungai termasuk patin yang beroperasi le­bih 20 tahun lalu mengalami ke­rosakan teruk akibat kebakaran.

Menurut Mohd. Sharkar, pihak MPT telah memohon peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaiki semula kesemua 16 gerai yang rosak teruk berkenaan.

Sementara itu, seorang pengusaha gerai, Noriza Mohd. Jali berkata, mereka menghargai tawaran segera beroperasi di gerai baharu yang dapat memastikan punca pendapatan mereka tidak terputus.