Seorang bekas pekerja, Zafran Ahmad, 43, berkata, kesemua me­reka merupakan pekerja tempatan yang bekerja di kilang tersebut antara tempoh 15 ke 20 tahun.

“Usaha pengurusan kilang memberhentikan kami melibatkan tiga peringkat. Peringkat pertama terdiri daripada 39 pekerja yang diarahkan supaya tidak datang bekerja untuk tempoh 12 hari, selepas itu apabila datang ke kilang mereka dimaklumkan telah diberhentikan kerja.

“Peringkat kedua membabitkan 56 pekerja yang diberikan notis berhenti kerja sementara dan peringkat ketiga (23 pekerja) yang diberikan memo memaklumkan kami semua diberhentikan kerja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di sini hari ini.

Zafran berkata, dalam memo yang dikeluarkan, syarikat berkenaan berjanji untuk melunaskan gaji tertunggak namun sehingga kini mereka masih belum menerimanya.

“Kami bukan sahaja diberhenti­kan, gaji kami juga tidak dibayar se­penuhnya dan tiada pampasan diberikan. Kami hanya mahukan pem­belaan dan menuntut hak kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pekerja, Mohd. Khaizal Idris, 42, berkata, masalah membabitkan pekerja tempatan di kilang ber­kenaan berlaku pada awal tahun lalu dan usaha pekerja di situ untuk berjumpa dan berbincang dengan pengurusan tertinggi syarikat ber­kenaan seperti tidak dilayan.

Katanya, mereka juga telah membawa perkara tersebut kepada pejabat Buruh dalam usaha untuk men­jadi orang tengah bagi membincangkan masalah dihadapi namun tidak berjaya apabila pihak syarikat tidak menghantar wakil mereka.

“Apa yang dilakukan oleh syarikat ini adalah mereka mengurangkan pekerja secara mengejut dan kini kilang ini tidak lagi beroperasi.

“Kesemua bekas pekerja kilang keluli ini mahu pihak syarikat membayar tunggakan gaji serta pampasan atau faedah penamatan kerja kepada mereka seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955 dan undang–undang buruh berkaitan,” katanya.