Pengurus Pejabat Perkeso daerah, Tarmizi Mukhtar Tarmizi berkata, kompaun itu dikeluarkan sempena Ops Kesan Bersepadu Perkeso daerah sepanjang bulan ini di sekitar Triang di sini.

“Sepanjang ops berkenaan, se­­banyak 122 majikan diperiksa dan 11 daripadanya didapati gagal men­daftar perusahaan dan pekerja masing-masing dengan Perkeso.

“Majikan terbabit perlu segera ke Pejabat Perkeso daerah untuk menjelaskan kompaun dan mendaftar perusahaan serta pe­kerja mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas me­nyampaikan cek faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 kepada waris Allahyarham Abd. Khisam Mohamad Noor, 32, di Felda Jengka 3, di sini semalam.

Cek faedah pengurusan jena­zah itu disampaikan kepada Rubiah Yaakob, 64, ibu kepada Abd. Khisam yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di Kilang Sawit Tersang, Raub baru-baru ini.

Tarmizi Mukhtar berkata, majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Perkeso boleh dikenakan kompaun serta-merta antara RM500 hingga RM4,000 di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

“Tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap mana-mana majikan yang masih gagal berbuat demikian walaupun setelah dikompaun.

“Di bawah AKSP 1969, pesalah berdepan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Perkeso daerah komited memastikan kebajikan dan hak pekerja di negara ini mendapat perlin­dungan keselamatan sosial.

“Kita akan terus mengadakan pemeriksaan di perusahaan dan industri supaya memberi kesedaran kepada majikan menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.