Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berkenaan adalah selaras dengan fokus utama kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang melahirkan modal insan bertaraf dunia yang memartabatkan masyarakat.

“Keprihatinan terhadap kebajikan golongan kurang berkemampuan ini merupakan amalan mulia untuk menyebarkan nilai-nilai murni kepada masyarakat sekitar.

“Program ini dapat memberi ruang yang cukup besar kepada Yayasan Pahang dalam mencapai salah satu hasrat utama kerajaan iaitu ‘memakmurkan kehidupan’,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Majlis tersebut melibatkan murid dan pelajar berdasarkan kategori yatim, yatim piatu dan kurang berkemampuan dari empat sekolah rendah serta 10 sekolah menengah.

Setiap pelajar menerima wang tunai RM300 dan kurma sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Dalam pada itu, bagi Nur Syahidah Fauzi,16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar dekat sini, sumbangan tersebut bernilai buat dirinya untuk membeli keperluan persekolahan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Yayasan Pahang kerana prihatin dengan nasib kami yang kurang berkemampuan ini,” katanya yang tinggal bersama abangnya, Mohd. Faris Faqri selepas kehilangan ibu bapanya sejak berusia dua bulan. - UTUSAN ONLINE