Tentunya ada harapan dan keinginan kita di tahun baharu yang belum tercapai di tahun 2017.

Bagi penulis sendiri ber­azam untuk mendepani hari-hari mendatang dengan lebih baik dan positif.

Bagi sebahagian besar peniaga Ampang Park, pusat beli-belah pertama yang beroperasi di negara ini sejak 44 tahun lalu itu , kini lebih menghitung hari-hari untuk meninggalkan tempat mereka mencari rezeki selama ini.

Tahun 2017 dianggap paling mencabar kepada peniaga dan pemilik premis di pusat beli-belah ini.

Hampir setahun berjuang cuba menyelamatkan Ampang Park, namun terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang menolak rayuan 39 pemilik premis dan penyewa yang memfailkan tindakan undang-undang.

Ia bagi membatalkan kelulusan merobohkan pusat beli-belah itu.

Pada 31 Disember ini pusat beli-belah itu hampir sampai ke titik penghujungnya dan bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park iaitu ste­sen bawah tanah.

Pusat beli-belah yang bero-perasi pada 15 Mac 1973 itu diilhamkan oleh empat beradik, Tan Sri Low Keng Seng, Tan Sri Low Keng Huat, Low Keng Boon dan Low Keng Hoo yang mempunyai impian untuk membina sebuah pusat sehenti berkonsepkan moden, hiburan serta keluarga.

Ternyata dalam tempoh empat dekad itu impian mereka tercapai kerana Ampang Park terus menjadi tumpuan dan menjadi kebanggaan ramai.

Bagi penulis Ampang Park turut meninggalkan kenangan secara peribadi kerana itulah pusat beli-belah pertama yang dikunjungi sebaik menjejak kaki ke ibu kota kira-kira 20 tahun lalu.

Selain menawarkan harga berpatutan, terdapat pelbagai pilihan barangan terutama pakaian dan kasut dijual rata-rata peniaga Melayu itu.

Selain mengundang sayu kepada sesiapa yang pernah berkongsi pengalaman di situ, peniaga dan pemilik premis di dalam bangunan itu juga pasti akan terasa kehilangan.

Untuk tahun 2018 ini marilah kita sama-sama melihat isu ini daripada sudut positif walau ia pahit untuk ditelan.

Kerja-kerja perobohan ke-seluruhan pusat beli-belah perlu dilakukan disebabkan aspek keselamatan.

Dan percayalah sebaik projek itu siap, sudah tentu ia memberi manfaat kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Marilah kita sama-sama mengharungi tahun 2018 dengan penuh semangat dan optimis.