NORAZMI AHSANI

Menyedari wujud permintaan daripada orang ramai untuk memudahkan perkhidmatan itu, Norazmi Ahsani, 29, memulakan servis merakam dan mencetak gambar dari rumah ke rumah sejak hampir empat bulan lalu di daerah ini.

Pemilik syarikat Qiszma Studio yang beroperasi di Batu Kikir itu berkata, perkhidmatan itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan gambar pada kadar segera tanpa perlu bersusah payah ke pekan atau bandar.

Dengan hanya satu panggilan menerusi telefon atau aplikasi WhatsApp, anak muda kelahiran Kuala Selangor ini sedia menawarkan khidmat tanpa mengira masa dan lokasi di sekitar daerah Jempol dan kawasan berdekatan.

“Biasanya pelanggan perlu ke studio untuk merakam gambar pasport tetapi saya memudahkan mereka dengan menyediakan perkhidmatan ke rumah atau mana-mana lokasi yang mereka rasakan sesuai.
“Proses mengambil dan mencetak gambar juga pantas iaitu kira-kira 15 minit dan semuanya dilakukan di belakang but kereta sahaja,” katanya di sini hari ini.
Menurut Norazmi, pada hujung minggu beliau turut menyediakan perkhidmatan berkenaan di tapak jualan but kereta di Bahau di sini.

Katanya, kadar harga yang ditetapkan juga rendah berbanding harga di kedai gambar iaitu RM10 bagi enam keping gambar dan caj pengangkutan percuma bagi kawasan lingkungan 5 kilometer dari studionya.
Bapa kepada seorang anak itu mengakui, walaupun masih baharu menyediakan perkhidmatan itu tetapi dia berpuas hati dengan maklum balas pelanggan yang diterimanya setakat ini.
Sementara itu, seorang pelanggan, Rossazzlinawati Mohd. Ariff, 35, berkata, perkhidmatan itu amat baik dan berharap kawasan perkhidmatan dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang.

“Saya menggunakan khidmat Norazmi ketika menjadi petugas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Ketika itu, semua petugas tidak ada gambar pasport, jadi saya menghubunginya dan beliau sampai dengan pantas,” katanya.

Ujarnya, perkhidmatan seumpama itu dapat membantu mereka yang sibuk atau memerlukan gambar bagi urusan penting tanpa perlu berkunjung ke kedai gambar.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan mengambil gambar boleh menghubungi Norazmi di talian 016-2972973. - UTUSAN ONLINE