Anwar Ibrahim Club dalam kenyataan hari ini berkata program pembersihan itu diadakan bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar dan menjaga kebersihan kawasan terutama di Port Dickson yang kaya dengan pantai strategik dan cantik.


"Program bermula pukul 8.00 pagi, lima buah pantai dipilih untuk program pembersihan pada tahun ini iaitu Pantai Cahaya Negeri yang akan menjadi tempat perasmian, Pantai Tanjong Gemok, Pantai Saujana, Pantai Teluk Kemang dan Pantai Blue Lagoon.


"Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disertai selebriti tanah air antaranya Awi Rafael, Sharnaaz Ahmad dan ramai lagi. 


"Mereka akan turut bersama bergotong-royong di kesemua lima pantai terpilih," katanya.


Menurut kenyatan itu, Port Dickson Coastal Cleanup Day itu dianjurkan Pejabat Anggota Parlimen Port Dickson dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Perbandaran Port Dickson, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, MBI Negeri Sembilan, SWCorp Negeri Sembilan dan gabungan pelbagai badan bukan kerajaan.


Selain itu, Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Anwar Ibrahim dan Himpunan Pencak Pendekar turut akan diadakan pada hari yang sama.


"Orang ramai dijemput hadir ke Port Dickson Coastal Cleanup Day. Ayuh kita bersama-sama membersihkan pantai kita dan menjadikan Port Dickson ini sebagai sebuah tempat pelancongan yang disukai dan diminati oleh pelancong baik dalam dan luar negeri," katanya. -BERNAMA