Ini selepas kerajaan Persekutuan melalui kerangka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah memilih rumah pangsa itu bagi melaksanakan projek Kejiranan Indah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Melalui projek itu, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab melakukan kerja-kerja baik pulih rumah pangsa berkenaan, tetapi turut menaik taraf sistem peparitan, menurap jalan, menaik taraf dewan orang ramai dan pengindahan landskap persekitaran dengan kos kira-kira RM4 juta.

Berbeza hari ini, keadaan kehidupan penduduk rumah pangsa itu `hanya indah khabar dari rupa’ dan mereka kini berdepan dengan 1,001 masalah.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi baru-baru ini mendapati, persekitaran perumahan itu kelihatan usang dan tidak terurus.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa unit kosong yang disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab, selain longkang tersumbat dan dahan-dahan pokok yang tidak dicantas.

Dakwa penduduk, kegagalan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan pihak bertanggungjawab menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa dan tidak selamat sejak beberapa tahun lalu.

Hasil tinjauan turut mendapati, tidak terdapat kemudahan memadamkan api disediakan.

Difahamkan, satu kebakaran pernah berlaku di sebuah unit rumah kosong di situ kira-kira dua tahun lalu.

Kejadian terbaru pada 12 Oktober lalu jelas membuktikan kebimbangan memuncak penduduk tentang keselamatan mereka.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, enam pelajar termasuk seorang perempuan nekad turun melalui belakang dapur di tingkat empat selepas perbuatan ponteng sekolah mereka terbongkar.

Semua pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah itu bagaimanapun, gagal melarikan diri akibat terperangkap di satu unit rumah di tingkat tiga.

Mereka terpaksa diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan tangga untuk turun dari rumah tersebut.

Dakwa penduduk, masalah yang dihadapi mereka sudah dikemukakan banyak kepada pihak bertanggungjawab tetapi tiada tindakan sehingga hari ini.