Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tabung itu yang ditubuhkan sejak tahun 50-an adalah untuk kebajikan bekas tentera, balu, keluarga serta veteran yang cedera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya ingin mengingatkan go­longan korporat bahawa kemajuan perniagaan mereka sehingga ada yang mencapai tahap antarabangsa pada hari ini adalah hasil perjuangan anggota keselamatan yang sentiasa menjaga keselamatan negara.

“Marilah kita bersama-sama menyumbang kepada tabung itu, jangan sampai kita terpaksa merayu untuk sumbangan kerana tabung tersebut adalah untuk kegunaan dan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam amal sempena Kempen Tabung Pahlawan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia negeri (PVATM) di Klana Resort di sini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Yang Dipertua PVATM, Mejar (B) Datuk Sazali Ismail.

Pada majlis itu, Mohamad turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 untuk Tabung Pahlawan dan PVATM.