Mereka yang berumur antara enam hingga 14 tahun dibawa membeli pakaian dan keperluan hari raya di sebuah pusat beli-belah di sini serta berbuka puasa di Hotel Royale Chulan Seremban.

Pengurus SWM Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’Ashari Othman berkata, program itu diharapkan dapat memberi keceriaan kepada anak-anak yatim tersebut.

“Selain itu mereka turut dapat merasai pengalaman membeli-belah kelengkapan hari raya seperti kanak-kanak lain,” katanya kepada pemberita dalam Program SWM Kasih Santun Ramadan di sini.

Sementara itu dalam majlis berbuka puasa, kanak-kanak tersebut bersama tiga ibu tunggal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan enam anak mereka menerima sumbangan duit raya.

SWM Environment juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina.

Majlis dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong; Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik; Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin dan Pengarah SWCorp negeri, Nordin Amat. - UTUSAN ONLINE