Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri percaya pencapaian dalam pendidikan mampu merubah negeri ini menjadi lebih dinamik pada masa depan.

Katanya, lulusan universiti yang cemerlang diharap dapat menyumbang tenaga dan fikiran bagi mencapai cita-cita itu.

“Harapan kita mereka ini adalah modal insan yang cukup strategik untuk kita membangunkan negeri kita ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama untuk anak-anak negeri ini anjuran Yayasan Negeri Sembilan (YNS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah YNS, Datuk Mat Ghazali Abd. Rakim.

Pada majlis itu, seramai 150 siswazah dari negeri ini yang mendapat ijazah kelas pertama dalam pengajian mereka tahun lalu, menerima anugerah daripada kerajaan negeri.

Setiap penerima mendapat wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Aminuddin.

Majlis itu adalah yang kedua untuk tahun ini. Pada April lalu, seramai 150 siswazah telah menerima anugerah yang sama.

Aminuddin berkata, beliau difahamkan beberapa siswazah cemerlang itu telah mendapat tawaran kerja di Singapura dengan gaji yang lumayan.

“Ini menunjukkan bahawa siswazah kita bukan saja diterima di sini tetapi juga luar negara,” katanya.

Jelasnya, beliau juga gembira kerana YNS masih mampu memberi insentif kepada siswazah cemelang tersebut dengan jumlah penerimanya meningkat saban tahun.

“YNS perlu memastikan pemberian ini dapat dilaksanakan setiap tahun dan berharap para penyumbang terus memberi sokongan kepada yayasan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE