Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed, berkata mangsa, K. Rathika, 26, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.36 pagi.

“Ini menjadikan dua kematian setakat ini selepas seorang lelaki Myanmar berumur 27 tahun meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban Isnin lalu juga dipercayai akibat keracunan metanol.

“Seorang lagi wanita yang berusia 50-an telah dimasukkan ke HPD petang semalam kerana tidak sedarkan diri selepas meminum arak dipercayai jenama yang sama dengan kes kematian sebelum ini.

“Pihak hospital kemudian telah merujuk mangsa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah lewat petang semalam untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Aidi Sham memberitahu, dua lagi mangsa yang dimasukkan ke HPD kelmarin kini dilaporkan stabil, namun seorang daripada mereka masih tidak sedarkan diri.

Beliau memberitahu, pihaknya telah menahan seorang suspek wanita berumur 50 tahun bersama anak lelakinya berusia 19 tahun di Taman Indah, Lukut di sini pukul 12 tengah hari tadi kerana dipercayai terlibat dengan penjualan arak kepada mangsa.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek telah membeli sebanyak 24 tin arak berjenama Muldeer daripada seorang lelaki berusia 40-an dengan harga RM140 dan menjual kepada pelanggannya dengan harga RM7.50 satu tin,” ujarnya.

Tambahnya lagi, anggota polis dan Pejabat Kesihatan Daerah telah membuat pemeriksaan di 19 premis menjual arak sekitar daerah ini dan merampas 13 tin minuman beralkohol yang diimport dari Belgium berdasarkan label di tin berkenaan.

Semalam media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia pada Isnin lalu, manakala tiga lagi mangsa dimasukkan ke HPD dipercayai akibat keracunan metanol selepas meminum minuman keras. - UTUSAN ONLINE